October 27, 2010

Masuk Islam bukan masuk Melayu

Adik ipar Tony Blair masuk Islam

LONDON: Adik ipar mantan perdana menteri Britain, Encik Tony Blair, telah memeluk Islam menyusuli satu lawatan ke Iran, menurut laporan kelmarin. Cik Lauren Booth berkata beliau 'berasa bangga' kerana menjadi seorang wanita Muslim, lapor akhbar The Mail Ahad lalu. Wartawan berusia 43 tahun dan peserta rancangan realiti televisyen itu tidak lagi minum arak atau makan daging babi. Beliau menunaikan solat lima waktu dan tidak menolak kemungkinan memakai burqa pada masa akan datang. 'Sekarang saya tidak makan daging babi. Saya baca Al-Quran setiap hari, sekarang sudah sampai halaman ke-60,' katanya kepada akhbar tersebut. 'Saya tidak lagi minum arak dalam tempoh 45 hari, yang terpanjang dalam 25 tahun,' jelasnya. Cik Booth memeluk agama Islam sekembalinya dari satu lawatan ke Qom, sebuah bandar suci kaum Syiah di Iran, enam minggu yang lalu. Beliau dilaporkan melawat makam Fatima al-Masumeh di sana. Menurutnya, sewaktu berada di Iran, 'saya duduk dan merasakan suntikan rohani yang membuat saya cukup tenang dan gembira'. Semasa bercakap kepada akhbar berkenaan selepas satu acara berbilang agama berjudul Global Peace and Unity Event (Acara Keamanan dan Perpaduan Sejagat) di London Sabtu lalu, Cik Booth berkata: 'Apa yang hendak saya beritahu anda hari ini, saya Lauren Booth adalah seorang wanita Islam.' 'Saya sentiasa merasakan bahawa umat Islam sangat penyayang dan cintakan keamanan. Dan saya berasa bangga menjadi seorang daripada mereka,' tegasnya. Cik Booth adalah adik tiri isteri Encik Blair, Cherie, yang juga seorang peguam hak asasi. Beliau, yang bertugas untuk stesen televisyen Iran berbahasa Inggeris, Press TV, sering mengkritik abang iparnya, Encik Tony Blair, yang sebagai duta keamaan Timur Tengah sering memihak kepada Israel dan Amerika Syarikat. Cik Booth menulis sepucuk surat terbuka dalam akhbar Morning Star bulan lepas. 'Secara peribadi saya tidak faham kenapa mereka takutkan politik Islam,' tulisnya. 'Bagi saya, orang yang kuat agama patut dididik mengenai peristiwa dunia supaya mereka tidak jahil. Misalnya, Zionis Kristian di Midwest, Amerika Syarikat,' tambah Cik Booth. Selepas menghadiri satu rapat di Iran bagi memperingati kematian rakyat Palestin di bandar Rafah dan Nablus, Cik Booth menulis: 'Tahukah anda nama tempat-tempat ini, Tony? Sebagai duta Timur Tengah, anda patut tahu.' 'Israel membunuh ramai kanak-kanak di bandar-bandar ini. Anda tahu tak?' tanyanya. Cik Booth tidak dibenarkan masuk ke Israel dan Mesir selepas pergi ke Gaza dari Cyprus di atas sebuah kapal sarat dengan aktivis yang membantah kepungan terhadap Jaluran Gaza. -- AFP.