November 4, 2010

Kontroversi Menara Warisan Merdeka

Bantah Menara Warisan Merdeka tak munasabah — Rejal Arbee

November 04, 2010
4 NOV — Kewujudan pelbagai blog dan portal berita di alam siber sudah memberikan ruang amat luas kepada sesiapa saja yang mempunyai komputer dan sambungan ke internet memberi pandangan mereka, hatta yang melampaui batas tanpa sebarang sekatan.
Ramai mengharapkan dengan adanya kemudahan laman sosial seperti Twitter, Facebook dan pelbagai enjin carian, mereka yang mengambil bahagian dalam perbincangan melalui kemudahan ini akan lebih matang dan bertanggungjawab.
Agak malang apabila dilihat daripada pelbagai akhbar web serta blog tertentu begitu banyak sekali tuduhan dan tohmahan melampaui batas dan berbaur perkauman. Hingga ada yang tergamak mengatakan di Malaysia ini, walaupun terdiri daripada pelbagai kaum hanya satu kaum saja yang meraih segala-galanya.
Ada pula yang mentohmahkan bahawa agak pelik kaum majoritinya yang mendapat keistimewaan bukannya kaum minoriti yang berterusan ditekan. Bagi orang yang tidak tahu dan bagi rakyat negara ini yang tidak prihatin dan berpandangan sempit tohmahan dan fitnah itu adalah benar.
Jika benarlah orang Melayu saja menikmati segala-galanya dan bukan Melayu ditindas tidak akan wujud keadaan yang mana kebanyakan daripada aktiviti ekonomi dalam negara dikuasai kaum Cina. Lihat saja kedai yang wujud dalam bandar di seluruh negara mahu pun gedung besar di pasar raya berapa banyak yang dimiliki Melayu? Berapa kerat Melayu menguasai syarikat pengedar segala macam barangan di negara ini?
Jadi apabila dilihat keadaan sebenar tanpa sentimen melampau tentunya diketahui, walaupun Bumiputera dan Melayu terdiri daripada hingga 65 peratus daripada jumlah rakyat negara ini bukan mereka yang menguasai ekonomi negara ini, baik ekonomi nyata lebih-lebih lagi ekonomi gelap.
Jadi bagaimana orang berfikiran sempit ini tergamak mengatakan bahawa hanya Melayu saja yang meraih segala kenikmatan yang wujud?
Maka itu dalam alam siber ini, apa saja tuduhan boleh dibuat tanpa menghiraukan apakah ia benar atau fitnah dan sengaja diada-adakan. Portal berita dalam bahasa Inggeris ini memuatkan tohmahan yang jelas berbaur perkauman dan tuduhan melulu dan dilayari sesiapa saja, termasuk orang luar yang tentunya akan mempercayai apa yang ditohmahkan kerana tidak tahu yang sebenarnya.
Keadaan yang ada sekarang memberikan gambaran amat buruk terhadap orang Melayu dengan mewujudkan perasaan buruk sangka terhadap kerajaan. Maka itu persepsi buruk terhadap kerajaan sekarang begitu terkalbu dan amat meluas di ruang siber ini.
Kini sikap buruk sangka ini sudah menular kepada media “mainstream” pula. Sebuah stesen radio yang boleh dianggap sebagai demikian, BFM dalam ruang perbincangannya mengenai hartanah Sabtu lalu memberikan pandangan yang bukan saja tidak tepat, tetapi amat mengelirukan mengenai projek pembinaan Menara Warisan Merdeka.
Pengacara program itu bersama tetamunya, Fahmi Fadzil sudah membuat pelbagai tohmahan tidak betul terhadap pembinaan Menara Warisan Merdeka itu. Dari mula lagi pendengar rancangan diletakkan dalam kedudukan mempersoalkan projek itu apabila pengacaranya menyatakan mereka sudah menjemput beberapa orang penganalisis hartanah dan pemaju, tetapi enggan mengambil bahagian kononnya takut kalau-kalau mereka akan dipandang serong oleh PNB.
Gambaran yang hendak diwujudkan dari mula lagi bahawa semua penganalisis dan pemaju itu membangkangnya itulah sebabnya mereka “takut” mahu menyertai perbincangan itu. Sememangnya corak perbincangan itu berterusan saja persoal kenapa kerajaan mahu mengeluarkan perbelanjaan begitu besar hanya untuk mendirikan satu lagi menara tinggi. Apakah ia tidak akan menjadi satu lagi projek gajah putih.
Yang peliknya, walaupun pengacara dan tetamunya itu mengakui bahawa ia adalah projek PNB, iaitu sebuah badan swasta, perbincangan berterusan seolah-olah ia akan dibiayai kerajaan. Maka tetamunya pun menyebut berapa banyak sekolah dan hospital yang boleh dibina dengan perbelanjaan RM5 bilion itu.
Tidak disebut langsung bahawa tanah itu sudah dibeli oleh PNB untuk dimajukan. Tentunya PNB tidak akan belanja sehingga RM300 juta memiliki tanah itu untuk dibiarkan saja? Apakah PNB tidak boleh manfaatkan tanah miliknya untuk mendapat pulangan setimpal? Salahkah PNB melakukan yang terbaik untuk mendapatkan pulangan bagi pelaburannya semuanya pemilik pelbagai amanah saham yang dikendalikannya seperti ASN dan ASB?
Maka mereka pun menyebutlah bagaimana kini bantahan terhadap projek itu melebihi 200,000 dalam laman sosial Facebook. Juga ditohmahkan bagaimana rakyat akan menghukum kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang kiranya ia berterusan mahu melaksanakan projek ini. Apa pun jumlah rakyat Malaysia yang menjadi ahli Facebook sudah mencecah 8 juta.
Dalam pada itu, sebuah akhbar Inggeris pula menyentuh bagaimana di sekeliling kawasan itu ada sekolah Cina dan bangunan Cina. Manakala akhbar Nanyang Siang Pau menyindir projek raksasa itu yang akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang tidak mungkin boleh dileraikan. Kata akhbar itu, kini pun dengan dua sekolah Cina berdekatan dan Victoria Institution, kesesakan lalu lintas sudah cukup teruk. Apakah pelajarnya nanti perlu menginap di menara itu supaya mereka tidak akan lambat ke sekolah?
Masalah ini tentunya tidak akan timbul kiranya ia tidak disebut dalam ucapan pembentangan bajet negara. Ia tidak sepatutnya disentuh langsung dalam bajet kerana ia bukanlah projek kerajaan dan dibiayai pembayar cukai.
Ia adalah projek swasta yang tidak memerlukan satu sen pun wang kerajaan. Ia adalah wang pelabur ASN atau ASB dan saham amanah lain yang dikendalikan PNB. Jadi kenapa berterusan seolah-olah ia akan dibiayai kerajaan? Maka timbullah tohmahan bagaimana kos projek Zon Bebas Pelabuhan Klang atau Istana Negara melambung hingga bukan-bukan untuk memberi gambaran bagaimana kos RM5 bilion ini tentunya akan melambung juga akhirnya?
Pada harga ini pun pulangan daripada pendapatan sewa semua ruangnya yang akan wujud tidak mungkin boleh menampung segala kosnya, demikian mengikut Radio BFM itu. — Berita Harian
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.